Sejarah Institusi

Institusi Ketua Setiausaha Negara merupakan antara badan terpenting dalam pentadbiran kerajaan persekutuan. Institusi ini diwujudkan pada tahun 1911 ketika pentadbiran British di bawah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Titik tolak institusi ini bermula dengan berkuatkuasanya The Chief Secretary (incorporation) Enactment no.1 of 1911 pada 1 Februari 1911. Enakmen tersebut diperkenal bagi mewujudkan jawatan Chief Secretary to the Government of Federated Malay States (Negeri-Negeri Melayu Bersekutu) bagi menggantikan jawatan resident-general. Sir Arthur Henderson Young merupakan orang pertama yang memegang jawatan tersebut.

Di awal penubuhannya, institusi ini diberikan kuasa yang besar dalam pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu di mana semua urusan pentadbiran negeri diletakkan dibawahnya. Keadaan ini menimbulkan kegusaran dan ketidakpuasan hati dalam kalangan Raja-Raja Melayu kerana mereka mula kehilangan kuasa mentadbir dan mengurus negeri masing-masing.

Beberapa siri perbincangan dijalankan pada 1920-an bagi mewujudkan dasar pengagihan kuasa yang akhirnya membawa kepada pewujudan jawatan Federal Secretary, di mana peranannya lebih tertumpu kepada koordinasi jentera pentadbiran dengan cekap dan berkesan. Perlaksanaan pengagihan kuasa ini menjadi permulaan kepada amalan dasar pengagihan kuasa Persekutuan ke Negeri secara beransur-ansur.

Kesemua lantikan bagi jawatan Ketua Setiausaha Negara pada zaman kolonial didominasi oleh pegawai-pegawai tertinggi British tanpa peluang kepada anak tempatan. Seramai 13 orang pegawai tertinggi British dalam pentadbiran dilantik ke jawatan tersebut sebelum kemerdekaan Negara.

Namun, perkara ini berubah selepas Malaysia (ketika itu Persekutuan Tanah Melayu) mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Tun Abdul Aziz bin Abdul Majid mencipta sejarah apabila menjadi anak watan pertama memegang jawatan tertinggi perkhidmatan awam tersebut setelah kemerdekaan Negara.

Sepanjang sejarah, institusi ini telah melalui banyak perubahan daripada segi fungsi dan nama, sesuai dengan peredaran zaman. Ia juga telah memainkan peranan utama dalam menjadi pemangkin kepada pembangunan Negara dalam jangkamasa lebih seabad penubuhannya. Pelbagai cabaran dan evolusi yang dilalui Institusi Ketua Setiausaha Negara ternyata menjadi satu proses pematangan sehingga ianya menjadi salah satu institusi yang mustahak dan disegani pada hari ini.

Sejarah Institusi

 

Ketua Setiausaha Negara merupakan jawatan yang tertinggi dalam perkhidmatan awam. Justeru, tanggungjawab yang besar datang selari dengan keutamaan jawatan tersebut dalam pentadbiran Negara.

Pelantikan Ketua Setiausaha Negara dibuat di bawah Perkara 144(3) Perlembagaan Persekutuan, di mana ianya perlu mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, atas perakuan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dengan nasihat Perdana Menteri Malaysia.

Secara khususnya, Ketua Setiausaha Negara memainkan tiga peranan utama, iaitu:

  • Setiausaha kepada Jemaah Menteri atau Kabinet,
  • Ketua Perkhidmatan Awam Malaysia, dan
  • Ketua Setiausaha kepada Jabatan Perdana Menteri.

Selain daripada tugas-tugas utama dia atas, Kerajaan berdasarkan keperluan semasa boleh melantik Ketua Setiausaha Negara memimpin beberapa organisasi awam.

Bagi melancarkan tugas, Pejabat Ketua Setiausaha Negara diwujudkan bagi melaksana beberapa peranan dan tanggungjawab, antaranya:

  • Memberi perkhidmatan sokongan dalam menjalankan tugas Setiausaha Kabinet dan Ketua Setiausaha kepada Jabatan Perdana Menteri,
  • Memastikan semua ulasan, aduan dan maklumbalas yang diterima dari pelanggan diberi perhatian wajar, dan
  • Mengeluarkan kenyataan dan pegumuman tentang pembaharuan dan perubahan berkaitan perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara juga memainkan peranan seumpama 'tembok sempadan' di antara Kerajaan selaku penggubal dasar dengan pegawai pentadbir yang melaksanakan dasar Negara. Ketua Setiausaha Negara mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang bagi membolehkannya memberi nasihat secara profesional kepada kerajaan mengenai kesesuaian dan keperluan sesuatu dasar. Ini adalah penting bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan dan ketirisan dalam pelaksanaan dasar-dasar Negara.

Kerjasama serta tolak ansur antara kerajaan dan Ketua Setiausaha Negara amat penting bagi memastikan kecekapan pentadbiran supaya Negara terus berada di landasan yang betul.