Kenyataan Media

 ← Senarai Kenyataan Media

Mensejahterakan Perkhidmatan Awam

Antara ikrar utama saya ketika menerima lantikan sebagai Ketua Setiausaha Negara seminggu yang lalu adalah untuk melaksanakan reformasi ke arah mensejahterakan perkhidmatan awam dan rakyat amnya.

  1. Kebelakangan ini, imej perkhidmatan awam agak sedikit tercalar akibat terkait dengan isu integriti dan tadbir urus di kalangan penjawat awam. Sebagai institusi tulang belakang Negara, kita harus berani bertindak untuk terus mempertingkatkan kecekapan, akauntabiliti, integriti, tadbir urus, ketelusan dan etika dalam pelaksanaan tugas.

  2. Perkhidmatan awam sebagai institusi pelaksana harus sentiasa berada di barisan hadapan dalam menyantuni Rakyat. Jurang di antara perkhidmatan awam dan Rakyat perlu ditutup supaya perasaan pemilikan (sense of ownership) dapat diresapi oleh semua lapisan masyarakat.

  3. Dalam memberi khidmat terbaik kepada Negara, kita sebagai penjawat awam perlu sentiasa bersedia melaksanakan perubahan dalam mengharungi segala bentuk halangan yang dihadapi. Penekanan juga harus diberi dalam aspek pengurusan kos yang lebih cekap dan berkesan bagi memastikan dana awam tidak disia-siakan.

  4. Dalam mendepani cabaran dunia tanpa sempadan, setiap penjawat awam perlu menjadi pemimpin yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis, dan bukan hanya menjadi seorang pengikut. Zaman di mana penjawat awam perlu menuruti arahan membuta tuli telah berlalu.

  5. Pemisahan kuasa di antara badan pemerintah (executive), perundangan (legislative) dan kehakiman (judiciary) perlu diutamakan dalam memastikan integriti perkhidmatan awam tidak dipertikaikan.

  6. Segala pendekatan baharu ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya kita semua masih dibuai mimpi lama. Dalam masa yang terhad ini, penjawat awam perlu bertindak dengan pantas dalam tugasan berlandaskan kepada prinsip bersih, cekap dan amanah.

  7. Ketika kita semua melangkah ke era Malaysia baharu, perkhidmatan awam juga harus tekad untuk maju sederap dalam memberi khidmat terbaik kepada nusa dan bangsa.

Dr. Ismail bin Hj. Bakar
05/09/2018